Tun
Dr Mahathir Mohamad berkata Barisan Nasional (BN) mampu meraih sokongan
dua pertiga suara rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan
syarat anggota parti itu berfikiran waras untuk menerima dan menyokong
siapa sahaja yang dinamakan sebagai calon.
Pada masa yang sama, bekas Perdana Menteri itu mengingatkan anggota BN
supaya tidak melakukan sabotaj semasa kempen pilihan raya semata-mata
kerana tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih pucuk pimpinan
parti.
Ini kerana, katanya, perbuatan itu boleh membawa padah sehingga menyebabkan BN kalah dalam pilihan raya kali ini.
“Kalau orang Umno, orang BN mempunyai fikiran yang waras mereka akan dapat dua pertiga.
“Tapi kalau depa nak main… orang ini tak suka, orang itu tak suka, kalah
pun boleh,” katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di
Surakarta, dekat Jawa Tengah.
Dr Mahathir pada Isnin menerima anugerah Doktor Kehormat Ilmu Sosial dan
Budaya Dalam Bidang Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu oleh
Universti Sebelas Maret Indonesia (UNS-Solo), Jawa Tengah.
Ditanya mengenai kriteria yang perlu ada pada calon BN untuk bertanding
dalam pilihan raya akan datang, Dr Mahathir berkata mereka mestilah
terdiri daripada orang yang dikenali sebagai berfikiran waras,
berpelajaran dan mempunyai pengalaman dalam selok belok negara
demokrasi.
Katanya, apa yang menjadi masalah dalam BN selama ini ialah siapa sahaja
yang dipilih sebagai calon akan tidak dipersetujui oleh pihak tertentu
dengan palbagai alasan, kononnya calon itu tidak tahu itu dan ini, dan
sebaliknya merekalah orang yang lebih layak menjadi calonnya.
“Saya tak fikir (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) boleh
pilih seorang yang boleh disukai oleh semua dalam bahagian itu. Dan kita
dapati jadi satu tabiat dalam Umno kalau tak suka dengan calon, akan
tutup bilik gerakan, akan cuba sabotaj, cantas.
“Mereka bukan fikir tentang kemenangan bagi parti untuk membentuk
kerajaan yang baik. Mereka cuma fikir tentang kepentingan orang tertentu
sahaja, jadi mereka tidak matang,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata anggota Umno dan BN harus sentiasa
ingat bahawa pilihan raya merupakan satu proses untuk memilih sebuah
parti yang disokong oleh majoriti untuk membentuk kerajaan.
Katanya, jika mereka menyedari hakikat itu, anggota parti harus
menyokong siapa sahaja yang dipilih sebagai calon pada pilihan raya umum
nanti, termasuk calon yang bukan terdiri daripada anggota mana-mana
parti komponen BN.
“Kita harus ingat, Umno, ataupun MCA, ataupun MIC, ataupun Gerakan, tak
mungkin menang tanpa sokongan daripada orang yang bukan ahli parti.
“Jadi kenapakah kalau orang yang bukan ahli parti yang menentukan
kemenangan, tetapi kalau mereka dipilih (sebagai calon) parti tak mau
sokong.
Sepatutnya kita sokong. Payung terjun ni payung terjun la, kalau dia
berkebolehan kita patut sokong kerana akhirnya kita nak tentukan parti
menang,” katanya.
Ditanya sama ada BN boleh menang seandainya pilihan raya diadakan dalam
waktu dekat, Dr Mahathir berkata, beliau yakin BN akan menang namun
beliau belum boleh meramalkan sama ada BN akan menang dengan majoriti
dua pertiga.
“Saya ingat boleh menang, tapi masalahnya kita nak dapat satu majoriti
yang cukup supaya mendirikan sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan